Sunday, October 30, 2005

Bersama Mereka [1]

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
Bersama Mereka
oleh Nadia Hanim AbdurRahman

Alhamdulillah bulan sha’ban 1426H yang baru sahaja berlalu telah mengukir kenangan yang penuh bermakna di dalam diriku yang serba faqir ini. “Tidak ketahuan kemana dia telah menghilang”, kata teman-temanku serta asatizahku disini. “Mungkin sedang sibuk bekerja digaji orang”, tekaan mereka sebegini. Aku tidak peduli dengan dakwaan yang telah diberikan. Aku tidak hirau dengan sangkaan orang. Tidak perlu juga untuk aku menyebarkan berita tentang pemergianku ke tanah seberang. Mereka tidak mungkin mengerti. Cuma dari mereka yang akan aku dapat adalah soalan yang bertubi-tubi. Akhirnya mereka dapat menjejakiku yang sudah berada beribu batu. “Adakah kamu di Indonesia?” aku ditanya satu persatu. Sememangnya iya adalah jawapanku. “Aku perlu keluar dari negeriku”. Itulah penjelasanku.

“Wahai teman-teman dan guru-guruku. Aku kesal dengan pengisian hatiku yang dahulu. Destinasi mana yang harus aku tuju?. Mataku celik tetapi masih meraba. Ternyata hatiku ini diselimuti hiba. Aku memerhatikan keadaan kita di kota singa. Kesibukkan seharian manusia disini membuatku terpinga-pinga. Fikiranku melayang sejenak ke masa lampau. Sewaktu aku masih kecil, remaja dan belum merantau”.

Aku bukanlah sesiapa. Mahu dinamakan diri ini seorang murid tetapi tidak kesampaian adab yang diperlukan. Mahu dinamakan diri ini seorang guru tetapi pengamalan terhadap ilmu belum berkecukupan. Jadi, aku mahu mengetahui tentang ilmu yang disertakan adab. Juga tentang keberkatan ilmu apabila disampaikan. Memalukan sungguh kalau aku hanya pintar dalam mengajak orang dalam membuat kebaikan dan menahan diri mereka dalam melakukan keburukan tetapi diri ini sendiri masih belum bisa mengamalkannya. Orang mungkin tidak berasa tetapi Allah mengetahui segalanya. Aku malu dengan Allah dan Rasulullah.

Bukan aku tidak suka dengan kota singa ataupun cuba untuk menghina tetapi hakikatnya harus diterima. Gaya kehidupan sekarang ini terlalu melalaikan. Niat sudah kemana dan keikhlasan jarang kelihatan. Mereka seakan-akan sedang berlakon di dalam pementasan, mencerminkan kepalsuan di dalam perbuatan amal. Kejahilan berleluasa. Kebatilan dibanggakan. Hak yang sebenar pula susah untuk diterima. Mereka berkejaran sentiasa maju ke hadapan tetapi hak mereka kepada yang Maha Pencipta ketinggalan di belakang. Pengabdian yang sesungguhnya kepada Allah diremehkan. Mempelajari ilmu agama dianggap sampingan. Wawasan keduniaan diutamakan. Kuburan mereka tidak sempat dicahayakan. “Kami harus meningkatkan diri untuk kekal releven”, inilah alasan yang diberikan. Padahal peningkatan yang seharusnya diutamakan adalah peningkatan iman dan juga amal untuk bekalan akhirat yang sudah jelas kekal. Sekali lagi aku katakan, niat ini bukanlah untuk menghina. Hakikatnya, kita ini sentiasa alpa. Jangan sampai di akhirat nanti kita duka nestapa. Anak-anak ditinggalkan di dunia tanpa ilmu agama yang sempurna. Kita menderita di kuburan tanpa doa dari mereka. Ke manakah mereka? Mungkin belum belajar membaca ayat alquran ataupun memang sudah pintar, cuma… tiada masa!.

Bulan Sha’ban 1426H sudahpun menjelang dan telah bersabda Rasulullah yang mulia ‘alaihissolatu wassalam bahawa bulan Sha’ban adalah bulan baginda. Tidak dapat dibayangkan betapa indahnya jika dapat bersama-sama Rasulullah di dalam bulannya. Semoga dengan bersolawat keatas baginda dan sentiasa memperingatinya serta menghidupkan sunnahnya bisa mendekatkan diriku kepadanya serta para pencintanya yang lain di hari akhirat kelak. Ya, sememangnya cinta hakiki hanya kepada Allah dan Rasulullah. Tetapi aku mula mengadu... “Bagaimana aku bisa mengatakan cintaku kepadamu Ya Allah. Bagaimana aku bisa mengirimkan kata-kata cintaku kepada Rasulullah sedangkan aku masih belum melaksanakan hak-hakmu dengan sempurna. Aku masih belum mampu membahagiakan Rasulullah dengan amalan-amalanku yang masih terlalu berkurangan. Aku tidak mahu membohongimu Ya Allah dan aku tidak sangup membohongi kekasihmu Rasulullah dengan meluahkan rasa cintaku kepadamu dan Rasulullah sedangkan aku masih berpaut dengan kecintaan terhadap perkara-perkara duniawi. Ya Allah bantulah hambamu ini supaya dapat memilih cinta yang hakiki. Aku mencintaimu Ya Allah. Aku bisa terpaku dengan kebesaranmu Ya Allah. Aku bisa terharu dengan sifat-sifatmu yang Maha Agung. Engkaulah yang memiliki rahmat yang tidak terbatas luasnya. Engkaulah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Engkaulah segala-galanya. Aku juga tidak sanggup membayangkan kesedihan Rasulullah apabila beliau tahu betapa aku belum menjalankan amanah dengan baik untuk meneruskan perjuangannya”.

Rencanaku sudah tetap. Aku telah bercita-cita untuk pulang ke Tarim. Tempat yang penuh barakah, tidak terkata luasnya lautan ilmu disana, juga para awliya’ serta ulama’. Adab dan suluk sentiasa dijaga. Perkara ini yang mengagumkanku sewaktu pertama kali aku kesana. Dahulu, aku tidak tahu Tarim di mana. Perkataan seperti habaib dan ahlul bait juga tidak pernah aku tahu sehinggalah aku sudah disana. Aku bertanya siapakah di gambar itu. Sesungguhnya aku pernah melihatnya pada suatu ketika dahulu. Ternyata beliau adalah Habib Umar bin Hafidz. Pengasas ma’had yang sedang aku berada. Mereka heran kerana aku tidak mengenalinya, padahal aku sudah berada di ma’hadnya. Giliran mereka pula bertanya kepadaku, “habib mana yang kamu tahu?”. Jawapanku mengejutkan mereka kerana jawapanku adalah sebuah pertanyaan, “Habib itu apa?”. Mereka tidak sangka yang aku bisa sampai ke Tarim tanpa pengetahuan yang mudah seperti itu. Dalam kehairanan mereka bertanya lagi, “apa yang membuatmu untuk kesini?”. Aku juga tidak mengerti. Allah Subhanahu waTa’ala yang telah membuatkan hati ini untuk berminat kesini. Hanya Allah sahaja yang tahu, betapa aku bersyukur kepadaNya diatas kesempatan ini. Walaupun sebelumnya banyak perkara yang belum aku tahu, tetapi berkat tempat ini dan penghuninya telah mengajarku sebuah ilmu dan pengalaman yang bermakna.

Sayangnya, aku tidak berkesempatan untuk pulang ke Tarim. Mungkin bulan Sha’ban ini diisi di tempat yang lain. Rencanaku yang lain adalah untuk ke Indonesia. Teman-temanku ramai disana terdiri dari ahlul bait Rasulullah. Biar aku mengisi bulan Rasulullah ini bersama-sama keturunannya yang telah mewarisi dan sedang mensyiarkan ajaran baginda. Bisa aku mendapatkan berkat dan ilmu dari mereka. Alangkah baiknya berteman dengan keluarga baginda yang berada dilandasannya. Tidak dapat dibayangkan betapa indahnya jika bisa berteman langsung dengan Rasulullah juga.

bersambung InshaAllah...